Monday, November 8, 2010

Jangan Lupa Allah


Jangan Lupa Allah

Sabda Rasulullah : “Dunia ini ibarat makhluk yang dilaknat kecuali yang ada di dalamnya sentiasa ingat kepada Allah S.W.T” Sunan at-Tirmidzi : 2244, Ibn Majah: 4102

Setiap perkara yang kita kecapi di dunia ini semuanya tiada berharga sekiranya ia dikecapi dengan hawa nafsu tanpa bertunjangkan keimanan kepada Allah. Lihatlah, betapa dunia tidak begitu bernilai di sisi Allah, sebaliknya yang lebih berharga adalah hamba-hamba-Nya yang patuh dan taat kepada-Nya. 

Hiduplah berlandaskan apa yang Allah SWT tetapkan. Jadikan dunia sebagai medium untuk kita mencari dan menyediakan bekalan ke akhirat. Bekerjalah dengan mencari rezeki yang halal dan niat yang betul untuk menyara keluarga, membantu mereka yang memerlukan dan sebagai ibadah kepada Allah SWT. 

Lihatlah emas yang belum diproses, nilainya tidaklah begitu tinggi. Namun, setelah diproses dan dibentukkan, nilai emas itu akan meningkat berkali ganda tingginya. Begitulah juga manusia, pada asalnya sama sahaja tarafnya antara satu sama lain, tanpa mengira keturunan dan jantina. Namun seperti emas, apabila telah diproses dan dibentuk menjadi cantik, kehidupan manusia menjadi berbeza. Di sisi Allah SWT ukuran nilai iman dan taqwa dalam diri kitalah yang membezakan antara hamba-hamba-Nya.

Kembara hidup orang kafir di dunia adalah kabur dan tiada matlamat hidup yang jelas melainkan berebut kenikmatan dan kekayaan di dunia. Sebaliknya kembara orang yang beriman, hidup mereka mempunyai matlamat yang jelas untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.  Kehidupan mencari rezeki merupakan kewajipan dan sesekali tidak pernah memesongkan mereka daripada niat dan tujuan hidup yang sebenar.

“ Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka menghina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu berada di atas mereka pada hari kiamat. Dan Allah SWT memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.”
Al-Baqarah: 212

Kisah Abdul Rahman bin Auf

Abdul Rahman bin Auf seorang yang sangat kaya. Suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “saudara ini adalah bakal ahli syurga. Tetapi saudara akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan merangkak-rangkak. Ini disebabkan oleh harta saudara yang sangat banyak itu.”

Abdul Rahman bin Auf sangat terkejut, lalu dia terus mengeluarkan sedekah daripada harta-hartanya sehingga tidak ada satu pun yang tinggal padanya. Ini kerana dia tidak mahu hartanya menjadi penghalang dia memasuki syurga Allah SWT dalam keadaan diatas.

Kisah Saad Bin Muaz

Saad bin Muaz RA memeluk Islam ketika berusia 31 tahun dan meninggal ketika berusia 37 tahun. Beliau sempat hidup sebagai umat Nabi Muhammad SAW hanya selama enam tahun. 

Ketika hari kematiannya, Rasulullah SAW bersabda, “Arasy Allah SWT bergegar kerana hilangnya seorang mukmin yang member I manfaat kepada Allah SWT dan kepada Islam.”

Saad tidak pernah mensia-siakan waktunya untuk menunaikan kewajiban pengabdian diri kepada ALLAH SWT. Seluruh jasad dan jiwanya dikerah mengabdikan diri kepada-Nya tanpa rasa jemu.

Marilah kita bersama mengambil pengajaran daripada kisah sahabat Rasulullah SAW ini dalam hidup kita seharian.
Sekian.:)

Petikan Asal : Tundukkan Hati, Rahsia Keikhlasan Hidup di Dunia Fana, oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Annual Bakri Haron, 2009, Anbakri Publika.

No comments:

Post a Comment